Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengadakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Serentak Penggunaan Virtual Account (VA) dan Quick Response (QR) bagi pembayaran sewa premis di Hentian Bas MBKT, Bengkel Chendering dan pasar-pasar lain di bawah seliaan MBKT.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Sabri bin Abas, Setiausaha MBKT pada 15 Oktober 2026 bertempat di Hentian Bas MBKT.
Pelaksanaan VA dan QR bertujuan memudahkan penyewa membuat bayaran sewa premis tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada pembayaran di kaunter. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan MBKT dalam memperkukuh pendigitalan perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan hasil.
Pelaksanaan awal sistem ini telah dimulakan di Pasar Kedai Payang 1 pada 19 Mei 2026, diikuti Pasar Kedai Payang 2 pada 20 Julai 2026 dan Pasar Chabang Tiga pada 6 September 2026.
Usaha ini mencerminkan kesungguhan MBKT dalam memperluas penggunaan teknologi digital bagi memastikan urusan kutipan hasil dilaksanakan dengan lebih sistematik, praktikal dan mesra pengguna.
MBKT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Affin Bank serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan.
Diharapkan kerjasama berterusan antara MBKT, komuniti peniaga dan masyarakat dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta menjadikan Kuala Terengganu sebuah bandar raya yang maju, berdaya saing dan sejahtera.

[ GALERI FOTO ]

