MENU
 

KUALA TERENGGANU, 14 SEPTEMBER 2026 – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menandatangani perjanjian bersama Malbase Management Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan dan pengurusan sistem pembayaran serta perkhidmatan tempat letak kereta di kawasan pentadbiran MBKT.

Perkhidmatan baharu ini dijangka mula dilaksanakan pada 1 Oktober 2026 melalui tempoh percubaan, sebelum diteruskan secara menyeluruh.

Pelaksanaan sistem ini merupakan satu langkah penambahbaikan bagi memastikan pengurusan tempat letak kereta di Kuala Terengganu dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, cekap dan mesra pengguna, khususnya dari aspek pembayaran dan penguatkuasaan.

Antara penambahbaikan yang bakal diperkenalkan termasuk penyediaan kemudahan pembayaran yang lebih sistematik, khususnya di kawasan Kuala Nerus, serta sebuah Kios Smart City yang akan menyediakan kemudahan tambahan kepada masyarakat.

Melalui kerjasama ini, MBKT turut dijangka memperoleh peningkatan hasil kutipan tempat letak kereta, di mana kadar pulangan kepada MBKT akan meningkat daripada 30% kepada 50% daripada hasil kutipan parkir.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diwakili oleh Datuk Bandar MBKT, Tuan Haji Lizan bin Che Mat, dan Pengarah Operasi Malbase Management Sdn. Bhd., Tuan Rafizuddin Ramly.

Inisiatif ini diharap dapat memberikan pengalaman yang lebih mudah, teratur dan selesa kepada penduduk serta pengunjung yang menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Bandaraya Kuala Terengganu.

SISTEM PEMBAYARAN TEMPAT LETAK KERETA BAHARU MBKT

[ GALERI FOTO ]